KUCHING, 26 Julai: Bersempena dengan perarakan kapal berhias Sabtu ini, empat jalan akan ditutup dan dilencongkan di pusat bandar raya ini.
Lokasi berkenaan adalah Jalan Wayang / Jalan Main Bazaar, Jalan Old Court House, Jalan Khoo Hun Yeang dan Jalan Power / Jalan Market.
Penutupan akan bermula pukul 4 petang pada hari berkenaan dan akan dibuka semula selepas program selesai.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, keperluan penutupan dan lencongan jalan ini bergantung kepada penilaian aliran trafik oleh pegawai polis bertugas.
“Orang ramai dinasihati untuk mengikut tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai bertugas dan dilarang meletak kenderaan di bahu jalan yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Kerjasama semua amat diharapkan bagi melicinkan perjalanan program berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media.
Orang ramai yang ingin berkunjung dinasihat meletak kenderaan di kawasan ditetapkan iaitu Reservior Park, Bangunan Saujana, Medan Letak Kereta Sarawak Plaza, Bangunan Medan Pelita dan Medan Letak Kereta Plaza Merdeka.
Perarakan Kapal Berhias sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka akan dihadiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bermula pukul 7 malam di Tebingan Kuching.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep sebanyak 20 buah kapal akan bertanding yang mewakili gabungan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, Badan-badan Berkanun serta syarikat swasta yang diiringi kapal pengiring daripada Sarawak Coastguard (SCG). – TVS