KUCHING, Julai 26: Dua anak Sarawak, Elwyn Jung dan Imran Azmi akan berentap di World Championship of Performing Arts (WCoPA) di Anaheim, California, Amerika Syarikat.
Mereka merupakan dua daripada 11 peserta yang akan mewakili Malaysia pada pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
Kata Elwyn ketika ditemui TVS, beliau akan menyertai pertandingan itu bagi kategori tarian untuk peserta berumur 16 hingga 17 tahun membabitkan enam genre.
“Enam genre tersebut termasuk tarian kontemporari, tarian lirik, tarian etnik dan rakyat, kategori tarian terbuka, tarian jazz dan tarian muzikal.
“Saya menyasarkan untuk menang dua pingat emas namun sekiranya hanya satu yang dimenangi, itu sudah memadai,” katanya.
Sebelum ini Elwyn terpilih sertai pasukan Malaysian Championship of Performing Arts (MCoPA) Malaysia sejak Februari lepas.
Katanya sejak itu dia telah berlatih dengan tekun untuk mengharumkan nama negara di pesada dunia.
Pada tahun lepas, Elwyn muncul juara pertandingan MCoPA.
Sementara itu Imran memberitahu akan berentap dalam kategori instrumental.
“Saya akan mempersembahkan karya unik dengan biola pada pertandingan itu,” katanya.
Pertandingan berkenaan akan bermula pada 28 Julai hingga 6 Ogos ini.
Antara negara lain yang turut menghantar penyertaan termasuklah Australia, India, Hong Kong, Jerman, Perancis, Kanada dan tuan rumah, Amerika Syarikat. -TVS