KUALA LUMPUR, 25 Julai: Undang-undang berkaitan syarikat gergasi teknologi perlu membayar media tempatan untuk kandungan berita dalam talian, harus segera dilaksanakan bagi memastikan industri media di negara ini kekal mampan.
Tokoh wartawan negara Tan Sri Johan Jaafar berkata Malaysia boleh merujuk kepada pelaksanaan undang-undang seumpama itu di luar negara, seperti News Media Bargaining Code di Australia dan Online News Act di Kanada, yang antara lain menuntut syarikat seperti Meta dan Alphabet Inc, membayar agensi media tempatan bagi setiap pautan dan carian bahan, serta kandungan berita digunakan dalam platform syarikat terbabit.
“Hal ini perlu dilakukan kerana ia soal kemampanan bagi syarikat media dan jalan kerja telah ditunjukkan oleh Australia dan ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan…syarikat gergasi teknologi akan melakukan apa sahaja, untuk pastikan hal ini (membayar agensi media) tidak berlaku.
“Tetapi kita perlu fikir pasal berkongsi berita yang disampaikan. Syarikat teknologi gergasi mesti membayar berita yang mereka siarkan. Harap hal ini dapat dilakukan segera atau sekurang-kurangnya tahap perbincangan terakhir dapat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi moderator Forum Media Nasional 2023 bertemakan Kemampanan Media – Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia pada Era Digital anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini, hari ini.
Johan turut mencadangkan, supaya kursi kewartawanan diwujudkan di semua universiti utama tempatan bagi menghargai jasa tokoh wartawan dan bidang kewartawanan, selain memberi bimbingan profesional kepada individu yang ingin memasuki bidang tersebut.
Seorang lagi ahli panel, Pengasas Publishers’ Rights Indonesia Agus Sudibyo berkata bayaran yang diberikan oleh platform gergasi teknologi kepada penerbit, harus boleh dirunding bagi membolehkan perkongsian kandungan yang bermakna dan kemudiannya membolehkan berkongsi hasilnya.
“Menjaga kemampanan media sebagai sebuah institusi ekonomi sama pentingnya dengan menjaga media sebagai agensi kewartawanan, maka kedua-dua ini harus dijaga seiring,” katanya.
Sementara itu, penerbit dan editor Australian Property Journal Nelson Yap dan Ketua Pengarang Utusan TV Datuk Zulkefli Hamzah, kedua-duanya berpendapat bahawa pemilik syarikat media perlu mengikuti perkembangan teknologi terkini, yang antara lain merupakan langkah persediaan bagi berhadapan cabaran dunia kewartawanan pada masa akan datang termasuk kecerdasan buatan (AI). – TVS