KUCHING, 25 Julai: Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Kuching membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).
Pegawai Staf Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Kuching, Leftenan Mohd. Ismail Yakub memaklumkan pendaftaran secara ‘walk in’ diadakan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari di perkarangan bangunan PSTL Kuching pada 29 Julai ini.
Menurutnya, PSTL akan memberi keutamaan kepada bakal pegawai dan perajurit muda yang menetap dalam radius 100 kilometer (km) dari pusat bandar.
“Sebelum ini kami pernah menerima pegawai yang berminat dari bahagian lain seperti Sibu dan Bintulu tetapi mereka berdepan kesukaran untuk hadir sesi latihan.
“Sesi latihan diadakan selepas waktu bekerja iaitu pada setiap Selasa dan Sabtu bermula pukul 6 petang hingga 10 malam dan 8 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya kepada TVS.
Beliau berkata pemilihan waktu adalah bersesuaian dengan masa individu yang bekerja agar mereka dapat mengikuti latihan-latihan yang ditetapkan.
PSTL juga menerima penyertaan daripada mereka yang berbeza latar belakang seperti pensyarah, cikgu dan penguasa kastam.
Sementara itu, individu yang berminat menyertai PSSTLDM akan menerima pelbagai manfaat termasuk elaun latihan tempatan dengan kadar RM8 hingga RM9 per jam sebagai pendapatan tambahan tidak termasuk elaun pengangkutan.
“Kami (PTSL) turut memberi kemudahan elaun ‘mileage’ dan pelbagai kursus kerjaya yang dianjurkan oleh Markas Pasukan Simpanan TLDM di Sungai Lunchu, Johor dan KD Sri Pinang, Pulau Pinang,” katanya.
Kriteria pengambilan awal bakal pegawai dan perajurit muda PSSTLDM Siri 2/23 tertera di poster di bawah. – TVS