KUCHING, 25 Julai: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) sedia memperkasakan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam membantu mengembangkan keusahawanan francais.
Pengerusi PERNAS, Dato’ Hazimah Zainuddin berkata pihaknya akan memberi bimbingan, khidmat nasihat serta mengenal pasti potensi francaisor dan francaisi di negeri ini.
“Kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertujuan membincangkan inisiatif PERNAS dan meneroka potensi kerjasama perniagaan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Pada masa sama, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek berkata, antara inisiatif PERNAS untuk membantu golongan usahawan Francais di Sarawak adalah mengadakan program BizFrancais yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu ini.
“Ini merupakan cara kami untuk memperkenalkan perniagaan francais ini kepada usahawan di Sarawak untuk mereka lebih terbuka mengenali apa itu perniagaan francais ini dan juga peluang yang mereka akan dapat usahawan francaisi dan francaisor yang sedia ada,” tambahnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua PERNAS Cawangan Sarawak, Ketua Bahagian Pembangunan Francais Pejabat Wilayah Sarawak, Vivisher Gider. – TVS