KUALA LUMPUR, 25 Julai: Starlink secara rasmi boleh ditempah di Malaysia bermula hari ini.
Menurut laman web Starlink Malaysia, perkhidmatan jalur lebar satelit di bawah SpaceX itu menawarkan pakej 100Mbps pada RM220 sebulan tanpa kontrak.
Bagaimanapun, pengguna perlu membeli set piring satelit Starlink secara berasingan yang berharga RM2,300 (standard) atau RM11,613 (berprestasi tinggi).
Starlink is now available in Malaysia, marking the 60th country around the world where Starlink can provide high-speed internet connectivity → https://t.co/G1myzWJQ6j 🛰️🇲🇾 pic.twitter.com/0MhynAUrJA
— Starlink (@Starlink) July 25, 2023
Starlink Malaysia menerusi laman web berkata pengguna boleh mencuba perkhidmatan selama 30 hari dan mereka boleh mendapatkan bayaran balik penuh dengan memulangkan peralatan.
Menurut Starlink, kit standard adalah yang terbaik untuk pengguna kediaman untuk aplikasi harian manakala kit berprestasi tinggi disyorkan untuk pengguna Internet berkapasiti tinggi atau syarikat.
Ia direka dengan keupayaan daya tahan cuaca yang baik dan menawarkan kelajuan tiga kali ganda pada suhu melebihi 35 darjah Celsius.
PM Anwar, dua menteri adakan pertemuan secara maya bersama Elon Musk
Menurut spesifikasi Starlink, pengguna boleh menjangkakan kelajuan muat turun 25-100Mbps dan kelajuan muat naik 5-10Mbps untuk pelan tetap standard.
Sesiapa yang berminat boleh membuat pesanan di laman web Starlink dan kit akan mengambil masa satu hingga dua minggu untuk dihantar.
Malaysia merupakan negara ke-60 dunia dan negara kedua di Asean yang menawarkan Starlink selepas Filipina.
Terdahulu, Starlink menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk beroperasi di Malaysia pada 17 Julai selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat telesidang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.
Kerajaan Malaysia telah membuat tempahan untuk 40 kit jalur lebar Starlink di sekolah dan universiti termasuk UiTM.
Seperti yang didedahkan oleh SKMM, Starlink dibenarkan beroperasi di Malaysia sebagai entiti 100 peratus milik asing kerana ambang 49 peratus untuk ekuiti asing yang dikenakan ke atas pemegang lesen NFP(I) dan NSP(I) telah diketepikan selepas mempertimbangkan nilai dan faedah yang akan disediakan oleh Starlink Malaysia. – TVS