KUCHING, 25 Julai: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menyambut baik langkah dilaksanakan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Program Toleransi Sifar Gangguan Seksual di Tempat Kerja yang dilancarkan oleh syarikat itu diharap akan dapat dicontohi oleh syarikat korporat lain di Sarawak.
Kata beliau, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun lepas, kerajaan memerlukan penglibatan syarikat seperti SEB untuk mempromosikan kesedaran mengenai isu berkenaan.
“Setiap tempat kerja perlu mempunyai polisi jelas mengenai gangguan seksual.
“Syarikat juga perlu menyediakan platform untuk pekerja membuat laporan, proses siasatan dan tindakan yang boleh diambil (terhadap pelaku),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran program itu di Menara SEB di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datu Sharbini Suhaili.
Sementara itu, Fatimah berkata, organisasi yang gagal bertindak terhadap gangguan seksual di tempat kerja boleh berdepan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kes.
Pada masa sama, Fatimah berharap agar proses siasatan yang dilakukan perlu adil dan saksama kepada semua pihak.
“Kerahsiaan untuk kedua-dua tertuduh dan mangsa harus dihormati,” katanya. -TVS