KUCHING, 25 Julai: Badan Budaya UNIMAS (BAYU) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terpilih mewakili Malaysia ke Festival De Confolens, Perancis yang bermula 27 Julai hingga 16 Ogos.
Kumpulan itu terdiri daripada seramai 20 orang pelajar dan 10 pegawai akan mempersembahkan tarian tradisional pelbagai kaum di Sarawak pada festival itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penglibatan BAYU pada festival berkenaan akan turut membuka ruang untuk mempromosikan seni, warisan dan budaya Sarawak di mata dunia.
“Saya berasa amat bangga kerana di Sarawak masih terdapat kumpulan anak muda yang aktif memartabatkan warisan budaya Sarawak.
“Kementerian akan sentiasa memberi sokongan dan peluang kepada penggiat-penggiat seni khususnya anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman BAYU ke festival itu di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Datuk Snowdan Lawan dan Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi.
Bagi melancarkan penyertaan BAYU pada festival berkenaan, Abdul Karim memberitahu, kementerian turut menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka.
“Penyertaan BAYU disokong melalui Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di bawah Seksyen Seni Budaya dan Warisan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau juga berharap agar kumpulan berkenaan akan turut dapat membantu mempromosikan industri pelancongan Sarawak sepanjang berada di negara berkenaan.
“Inilah peluang untuk mereka menonjolkan kebudayaan kita yang jarang dapat dilihat di luar negara,” katanya. -TVS