SARIKEI, 25 Julai: Sambutan Hari Terbuka Angkatan Pertahanan Awam (APM) Cawangan Sarikei memberi impak yang begitu besar khususnya dalam memperkukuhkan lagi peranan APM sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana dan kecemasan.
Program yang berlangsung di Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sarikei itu juga tidak ketinggalan dalam memantapkan lagi hubungan pasukan keselamatan itu dengan masyarakat.
Ketua Skuad Anggota APM Sarikei, Sarjan (PA) Buang Bolhassan berkata, pelbagai acara menarik telah disajikan kepada orang ramai sepanjang program berlangsung termasuklah pameran ular dan alatan penyelamatan agensi terbabit.
“Pelbagai acara yang kita adakan seperti demontrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR), terjun bangunan, pertunjukan bot dan peralatan-peralatan penyelamat di APM Sarikei,” katanya ketika ditemui media semalam.
Jelasnya, sambutan orang ramai amat menggalakkan meskipun disambut dengan sederhana.
Pada masa yang sama katanya, pengunjung juga berpeluang membantu golongan yang memerlukan melalui program derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sempena Hari 60 Sarawak Merdeka, kita juga membuat pertandingan mewarna bagi kanak-kanak yang berumur 9 hingga 12 tahun. Selain itu, aktiviti cabutan bertuah yang merangkumi pelbagai ibu bapa dan pertunjukan ambulans,” katanya lagi.-TVS