KUCHING, 25 Julai: Para saintis dan ilmuan di sini digesa untuk meneroka penggunaan sumber hidrogen yang sedang dibangunkan oleh Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ini sebagai sokongan terhadap usaha Kerajaan Sarawak yang membangunkan sektor berkenaan bagi memberi tumpuan terhadap isu perubahan iklim yang sedang dihadapi.
Kata beliau, antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah dengan peralihan penggunaan bahan api fosil kepada hidrogen.
“Ini akan membawa perubahan kepada struktur perindustrian dan membawa kepada pertumbuhan ekonomi.
“Usaha ini juga adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadi negara sifar bersih menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ijtimak Ilmuwan Islam Antarabangsa Tahun 1445H/2023M, di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.
Mengulas mengenai langkah Sarawak meneroka hidrogen sebagai tenaga bersih alternatif termasuklah solar, Abang Johari berkata, ini kerana negeri ini mempunyai sumber yang banyak termasuk pancaran matahari.
“Itu tidak termasuk (waktu) malam (kerana) cahaya matahari itu disimpan dan ia akan menjana tenaga kurang karbon yang menghasilkan keseimbangan alam sekitar dan hak asasi manusia,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak kini komited melakukan penyelidikan dalam menghasilkan tenaga karbon dan ekosistemnya.
“Hari ini dunia sedang berdepan dengan perubahan iklim dan kita melepaskan karbon secara berlebihan, jadi tiada keseimbangan dalam keperluan atau apa yang dicipta oleh manusia.
“Kerana hari ini terdapat dua golongan (yang mengubah dunia) yang mana golongan tersebut adalah golongan yang tamak dan yang tidak tamak,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha berkata, dengan bertemakan ‘Keharmonian Kepimpinan dan Pengurusan Mengangkat Martabat Ummah’ ijtimak kali ini bakal disertai kira-kira 1,000 orang peserta.
Menurutnya lagi, terdapat dua buah buku baharu yang diterbitkan oleh dua orang ilmuwan Islam negara ini turut dilancarkan pada majlis tersebut.
“Buku yang pertama ialah Kitab Pedoman Ibadat yang ditulis oleh Daud Abdul Ghani, manakala buku yang kedua pula dihasilkan oleh Prof. Emeritus Dato Dr. Mohd. Yusof Othman yang bertajuk Salah Faham Sains dan Agama,” katanya.-TVS