KUCHING, 23 Julai: Juara pertandingan Sarawak Motif Design Challenge (SMDC), Felicia Elma Samban Senelus berkata, idea yang ‘hadir’ ketika mendengar muzik membawa tuah kepadanya apabila rekaannya menambat hati juri.
Pelajar berusia 24 tahun dari Bintulu itu berkata, dia sememangnya meminati seni lukis malah menggunakan medium itu untuk meluahkan kreativitinya.
Bagi mendapatkan idea untuk sertai pertandingan berkenaan, pelajar program perisian kejuruteraan di Kolej Universiti i-Cats, Kuching itu memberitahu, dia mendengar muzik pelbagai genre selama seminggu.
“Saya turut mendapat inspirasi daripada Burung Kenyalang dan ketika itu sedang mendengar muzik, saya buat keputusan inilah motif rekaan yang perlu dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menerima hadiah pertandingan SMDC di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.
Selaku juara, Felicia Elma membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala tempat kedua pula diraih oleh Deccorin Denis, 22, dari Baram dan Erika Norain Salleh dari Sibu di tempat ketiga.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Hussaini, Ketua Dewan Muda, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Khairulnizam Dato Sri Mohamed Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli.
Sementara itu, Felicia Elma memberitahu, dia mengambil masa selama dua hari untuk menghasilkan motif rekaan berkenaan.
SMDC menerima lebih 100 penyertaan untuk pertandingan berkenaan yang diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat golongan belia Sarawak dalam menghasilkan rekaan motif tempatan. -TVS