KUCHING, 24 Julai: Perarakan Kapal Berhias yang kali terakhir diadakan pada tahun 2013, kembali diadakan semula dan bakal mewarnai Tebingan Kuching pada 29 Julai ini.
Perarakan yang diadakan sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka akan bermula pada jam 7 malam.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata, kali terakhir Perarakan Kapal Berhias diadakan ialah 10 tahun lepas iaitu pada tahun 2013 bersempena dengan Sambutan Gemilang 50 Tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia.
“Bagi tahun ini, Perarakan Kapal Berhias menyaksikan sebanyak 20 buah kapal akan bertanding.
“Kapal-kapal ini merupakan gabungan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, Badan-badan Berkanun serta syarikat swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perarakan Kapal Berhias sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sarawak Merdeka di bilik mesyuarat Kementerian Pengangkutan Sarawak, bangunan Baitulmakmur Medan Raya, Petra Jaya, hari ini.
Selain itu, perarakan itu juga turut disertai kapal pengiring, salah satunya ialah Sarawak Coastguard (SCG) yang baharu sahaja dilancarkan pada 7 April lepas.
Katanya, acara ini akan bermula sekitar jam 8.15 malam dengan persembahan daripada Jetski, Perarakan Perahu Tambang, seterusnya Perarakan Kapal Berhias dan diakhiri dengan persembahan final dari Persatuan Jetski.
“Bagi memberi kesempatan pada orang ramai, kapal berhias yang menang akan berlabuh di hadapan Tebingan Kuching pada 30 Julai 2023 sehingga tengah malam.
“Ini akan memberi kesempatan pada orang ramai melihat dengan lebih dekat kapal berhias tersebut,” katanya.
Tambah Henry, keunikan Sambutan Perayaan Sarawak Merdeka kali ini mengetengahkan kecantikan Sungai Sarawak yang akan diterangi cahaya lampu Dewan Undangan Negeri(DUN), Jambatan Darul Hana dan Jambatan Gantung Satok semasa perarakan tersebut selain menekankan ciri-ciri Sarawak Maju Makmur.
Pada masa sama, buskers tempatan turut membuat persembahan di sekitar Tebingan Kuching sebagai usaha untuk memberi peluang kepada penggiat seni mengetengahkan bakat mereka kepada orang luar.
Sementara itu, Henry menyasarkan seramai 10, 000 pengunjung akan memeriahkan Sambutan Perayaan Sarawak Merdeka sekali gus meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan.
“Acara Perarakan Kapal Berhias ini akan meningkatkan nilai ekonomi sungai dan keindahan tebing sungai pada malam tersebut yang akan dipamerkan semasa perarakan itu nanti.
“Apabila kita mengambil alih Syarikat Penerbangan, kita jangka akan lebih ramai pengunjung akan datang. Kita hanya perlu bersedia untuk ini,” katanya.
Jelasnya, Petronas merupakan penaja bahan bakar bagi acara perarakan tersebut.
Acara kemuncak akan diadakan pertunjukan pentas dan artis tempatan Sarawak yang menampilkan Hafiz Suip dan Dayang Nurfaezah.
Untuk rekod, pemenang bagi acara Perarakan Kapal Berhias akan membawa pulang hadiah RM10,000, kedua RM7,000 dan ketiga RM5,000 manakala tujuh pemenang sagu hati masing-masing turut menerima hadiah RM3,000. – TVS