LUNDU, 24 Julai: Pendidikan berkualiti untuk generasi muda penting dalam memastikan Sarawak dapat bersaing serta terus relevan seiring dengan keperluan semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata generasi tersebut merupakan mereka yang bakal memimpin negara sekali gus memastikan legasi pembangunan diteruskan.
“Ibu bapa harus menjadi tulang belakang kepada anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan dengan memberi sokongan dan pengawasan berterusan bagi memastikan anak-anak mereka sentiasa berada di landasan yang betul.
“Mereka juga harus menyokong minat dan bakat yang ada pada anak-anak mereka, mengenali kekuatan dan kelemahan mereka dan membantu mereka membangun kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan,” katanya berucap pada Jerayawara Project of Dream Realized (PRODR) 2023, di sini, hari ini.
Program tersebut merupakan satu inisiatif bagi membantu pelajar, merancang hala tuju pendidikan mereka berdasarkan bakat, minat,kemahiran dan tahap kelulusan.
Billy dalam pada itu turut menasihati pelajar-pelajar agar memanfaatkan program jelajah pendidikan seperti itu untuk membuat perancangan rapi bagi persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Katanya, golongan pelajar juga pada masa sama perlu bijak memanfaatkan dan memperkasakan pengetahuan berkaitan teknologi digital yang menjadi alat untuk memperluaskan pengetahuan dan keterhubungan dengan dunia luar.
“Teknologi adalah alat yang amat berkesan dalam membantu adik-adik pelajar berfikir di luar kotak dan seterusnya mencapai impian mereka,” katanya. -TVS