KUCHING, 24 Julai: Satu Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menangani isu penduduk Sarawak tanpa kad pengenalan diri telah dibentuk, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kata sepakat berhubung perkara itu telah dicapai dalam kunjungan hormat beliau kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya hari ini.
“Jabatan Premier Sarawak telah mengenal pasti 3,756 kes penduduk tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Lawatan kerja saya kali ini sekali gus mengesah dan memulakan peranan serta tanggungjawab PPK untuk menangani isu penduduk Sarawak tanpa kad pengenalan diri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini, hari ini.
Menurut Nasution, jumlah keseluruhan termasuk kes penduduk yang mempunyai sijil lahir, namun tidak mempunyai taraf kewarganegaraan kini mencecah 9,314 penduduk.
“Kerajaan Sarawak mempunyai satu pangkalan data yang mudah bagi kita mengenal pasti dan mengetahui lokasi kumpulan sasaran tersebut,” katanya dan menambah kebanyakan daripada mereka berada di kawasan pedalaman seperti Long Singut, Kapit.
Tambahnya, PPK itu dibahagikan kepada dua jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Induk yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Premier Sarawak manakala Jawatankuasa Teknikal yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.
“Dengan tertubuhnya jawatankuasa ini, kita berharap ia dapat menyelesaikan hal-hal penduduk tanpa kad pengenalan selain isu kewarganegaraan,” jelasnya.
Ujarnya, PPK seumpama itu pernah dibentuk pada tahun 2016 hingga 2019. -TVS