KUCHING, 24 Julai: Hasrat pesara jururawat, Hajijah Ibrahim untuk bertemu semula dengan empat bayi kembar yang kelahiran mereka disambut olehnya lebih 66 tahun lepas menjadi kenyataan.
Hajijah, 89, berkata, dia masih ingat sewaktu bertugas shif malam di Hospital Kuching (kini Hospital Umum Sarawak) pada 22 Ogos 1957, seorang wanita Bidayuh, Rubis Nyian yang sarat mengandung dibawa ke situ.
Hajijah berkata, wanita berkenaan berjaya melahirkan sepasang kembar.
“Selepas itu waktu bekerja tamat dan saya pulang ke rumah pada pukul dua pagi.
“Namun keesokan harinya apabila kembali bertugas, saya dimaklumkan dua lagi bayi dilahirkan oleh wanita itu,” katanya kepada TVS baru – baru ini sempena ‘reunion’ berkenaan.
Empat bayi itu terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki yang dinamakan Bernadette, Cecelia, Annie Nian dan James.
Pada pertemuan itu, hanya James dan Bernadette yang hadir manakala Annie dan Cecelia pula tidak turut serta kerana berada di Miri.
Namun impian Hajijah untuk bertemu kesemua mereka terlaksana apabila disambungkan menerusi panggilan video dengan dua lagi kembar yang berada di Miri.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh abang sulung empat kembar berkenaan, George Teron, 73, yang merupakan seorang pesara polis.
Hajijah pula ditemani anak bongsunya, Alhadi Bujang.
Alhadi buka cerita ibunya ‘rindu’ kembar empat
Sementara itu, Alhadi berkata, ibunya sering bercakap mengenai empat kembar itu sejak kebelakangan ini.
Perkara itu katanya telah mendorongnya untuk ‘melakukan sesuatu’.
Kata Alhadi, dia juga pernah melihat ibunya menatap gambar empat kembar itu.
“Ibu sering bertanya bila dia boleh berjumpa dengan mereka. Apabila saya tanya sama ada dia ingat tempat tinggal mereka, ibu beritahu sudah lupa,” katanya.
Alhadi berkata, ibunya ingin bertemu empat beradik itu kerana ingin tahu mengenai kehidupan mereka.
“Jadi, saya buat keputusan untuk cari mereka bagi merealisasikan impian ibu,” katanya.
Pencarian Alhadi bermula dan misinya dipermudahkan apabila jiran mereka yang dikenali sebagai Kak Lin memberitahu, dia mempunyai sepupu yang juga merupakan kembar empat.
“Apabila kami buat kira-kira, umur mereka hampir sebaya. Lebih memudahkan proses pencarian, ibu saya ingat kesemua nama kembar itu dan wanita yang melahirkan mereka,” katanya.
Dia kemudian dimaklumkan oleh Kak Lin bahawa sepupunya tinggal di Kampung Masa’an, Siburan.
Atur pertemuan empat kembar dengan ibu
Alhadi memberitahu, dia kemudian menghubungi Ketua Kampung Masa’an, Asek Brek untuk mencari empat kembar empat itu.
Mereka juga merancang perjumpaan semula.
“Saya melayari laman web Pejabat Residen Samarahan untuk mencari nama ketua kaum dan nombor telefon.
“Ketika menelefon Asek, beliau memberitahu kenal empat pasangan kembar itu kerana rumah mereka terletak di hadapan rumahnya sahaja,” katanya yang kemudian terus mengatur pertemuan.
Saya tidak mahu jadi jururawat
Hajijah yang berketurunan Melayu Sarawak memberitahu, dia membesar dalam perkampungan Bidayuh.
Katanya ketika itu dia tinggal bersama arwah bapanya yang bertugas sebagai guru di Kampung Semedang dan Kampung Giam, Padawan.
Kata Hajijah, dia merupakan salah seorang yang paling awal mengikuti kursus bidan yang dikelolakan oleh Jabatan Perubatan Sarawak.
Kerjayanya sebagai jururawat bermula apabila ditawarkan secara peribadi oleh Gabenor British, Sir Anthony Abell.
“Saya tidak pernah mohon untuk jadi jururawat, namun selepas mereka pilih, saya ikut latihan dan mulakan tugas,” katanya.
Ditanya tentang pengalaman sewaktu bergelar petugas kesihatan, Hajijah berkata, dia biasanya ditugaskan untuk membantu ibu yang ingin melahirkan anak di kampung.
Hajijah turut mendedahkan, dia telah menyambut kelahiran lebih 100 bayi sepanjang bergelar jururawat selama tiga tahun bermula 1955.
“Selepas itu saya meletak jawatan kerana mahu menjaga tujuh anak sendiri,” katanya.
Abang terkejut dapat adik kembar empat
Sementara itu George berkata, dia terkejut apabila mengetahui ibunya melahirkan kembar empat.
Katanya walaupun hanya berusia enam tahun ketika itu, namun peristiwa itu masih segar dalam ingatannya.
“Saya terkejut apabila melihat mendiang ibu membawa pulang empat adik ke rumah kami,” katanya.
George turut berkongsi sewaktu mendiang ibu mahu melahirkan anak, seorang paderi bernama Harry telah membawanya ke hospital ketika itu.
“Anak pertama yang dilahirkan ialah seorang bayi lelaki yang kemudian dinamakan James.
“Selepas itu, Hajijah kata, ada lagi dan lahirlah Annie,” katanya.
Berkenaan dengan pertemuan itu, George berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada adik beradiknya selepas menerima panggilan telefon daripada ketua kampung.
“Mereka bersetuju dan gembira kerana berkesempatan berjumpa dengan jururawat yang menyambut kelahiran mereka,” katanya.
Sementara itu, James dan Bernadette juga gembira setelah bertemu semula dengan Hajijah.
“Saya berasa tidak percaya perkara ini akan berlaku,” kata James.
Bernadette juga bersyukur kerana dapat berjumpa dengan Hajijah.
“Tiada kata-kata yang boleh diungkapkan, saya bersyukur. Terima kasih,” katanya. -TVS