SIBU, 23 Julai: Seorang guru lelaki di sini kerugian lebih RM89,000 selepas diperdaya oleh kenalan baharu media sosialnya yang menawarkan skim pelaburan emas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 30-an yang bertugas di sekolah swasta membuat laporan polis pada 21 Julai lalu.
Katanya sebelum itu mangsa berkenalan dengan seorang wanita dikenali Jooyee Yap Jia Yuan menerusi aplikasi mencari jodoh, Tantan.
“Suspek mengajaknya membuat pelaburan emas selepas beberapa hari mereka berkenalan.
“Mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi BFMTrade dan diyakinkan bahawa pelaburan itu akan memberi keuntungan 18 peratus daripada modal yang dikeluarkan.
“Seterusnya mangsa diminta membuat pembayaran ke beberapa akaun bank,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Azman memberitahu, sebanyak 18 transaksi wang berjumlah RM89,000 dibuat oleh mangsa ke 11 akaun bank berbeza sejak April 2023 hingga Mei 2023 lalu.
Kata beliau, guru berkenaan hanya menyedari ditipu setelah tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan malah suspek juga gagal dihubungi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan,” katanya. -TVSÂ