JAKARTA, 24 Julai: Sekurang-kurangnya 15 orang maut, manakala 19 yang lain masih hilang selepas sebuah feri karam di Pulau Sulawesi, Indonesia semalam, kata agensi mencari dan menyelamat negara.
Feri yang menghubungkan wilayah itu, karam di perairan Teluk Mawasangka Tengah, Buton Tengah, Sulawesi Tenggara pada 2.50 pagi waktu tempatan.
Bot yang membawa 40 penumpang itu karam selepas menyeberang ke Kampung Lagili menghala ke Kampung Lanto.
Menurut Ketua SAR Kendari Muhamad Arafah, enam orang selamat dalam kejadian sementara operasi mencari mereka yang hilang masih dijalankan.
“Pagi ini kami terus mencari penumpang bot yang hilang dengan mengerahkan pasukan tambahan dari dua wilayah untuk memaksimumkan pencarian,” katanya.
Selain mencari di sekitar lokasi kejadian, pihak berkenaan turut mengerahkan pasukan penyelam untuk mempercepatkan pencarian.
Pencarian turut dibantu oleh agensi keselamatan terbabit termasuk polis dan tentera bagi memastikan kesemua mangsa ditemui. – TVS