KOTA SAMARAHAN, 23 Julai: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) komited untuk membantu Kerajaan Sarawak memacu jentera ekonomi di negeri ini.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd. Kadim Suaidi berkata, UNIMAS sentiasa mendukung aspirasi berkenaan seperti yang dihasrat oleh kerajaan negeri dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Ia melibatkan bidang pendigitalan, sekuriti makanan, perubahan iklim dan banyak lagi sama ada yang sedang atau bakal dilaksanakan bersama kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media.
Sementara itu, beliau memberitahu, sempena Hari Sarawak, UNIMAS turut menyemarakkan Sambutan Sarawak 60 Tahun Merdeka.
Kata Mohd. Kadim, sambutan di peringkat UNIMAS berlangsung meriah pada Jumaat lepas.
“Semangat cintakan Sarawak terpancar, peserta bersemangat manakala warga kampus hadir dengan mengenakan baju kebangsaan dan etnik.
“Pada majlis itu, saya menyeru seluruh warga kampus supaya cakna terhadap tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan keharmonian di antara kaum, saling hormat menghormati demi kelangsungan kesejahteraan negeri dan negara,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung di Amphitheater Tasik UNIMAS dihadiri lebih 300 orang staf dan pelajar universiti berkenaan.
Kemeriahan sambutan Sarawak 60 Tahun Merdeka di peringkat UNIMAS turut diserikan dengan formasi angka 60 tahun menerusi kayuhan kayak yang dibentuk oleh atlit kayak UNIMAS sebagai tanda simbolik Bumi Kenyalang telah mengecapi 60 tahun kemerdekaan. – TVS