GEDONG, 23 Julai: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk membangunkan prasarana baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, Jabatan Pendidikan negeri perlu melantik konsultan yang boleh menghasilkan reka bentuk bangunan sekolah berkenaan.
“Jadi, saya akan berusaha kerana ini adalah peruntukan khas kerajaan negeri kepada SMK Gedong, anggaran saya adalah lebih kurang RM15 juta kerana ia melibatkan blok baharu termasuk landskapnya, jadi ia seperti membina sekolah yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Kepimpinan Belia anjuran bersama Emart dan SMK Gedong di sini, hari ini.
Hadir sama, Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais dan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.
Mengulas lanjut, katanya, beliau sendiri bersama-sama dengan Datuk Mohd Naroden Majais akan melantik konsultan terlibat yang akan memberi cadangan mengenai pembinaan bangunan sekolah baharu itu nanti.
Sementara itu, tegas Abang Johari, beliau masih belum mendapat butiran mengenai kos yang diperlukan untuk membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng di Simunjan daripada pihak Jabatan Pendidikan.
“Sampai ke hari ini saya belum ada menerima butiran mengenainya. Hal ini kerana saya ingin memasukkan butiran kos sekolah tersebut ke dalam bajet saya.
“Ini bukan menggunakan dana daripada Kerajaan Persekutuan, itu hal lain, yang ini kita menggunakan dana Kerajaan Sarawak dengan hasrat hendak membantu rakyat negeri ini,” katanya. -TVS