KUCHING, 23 Julai: Vokalis Ungu, Pasha mengakui penonton yang membanjiri Konsert Rakyat di Padang Merdeka di sini, malam tadi, memiliki aura yang luar biasa.
Beraksi di hadapan lebih 30,000 pengunjung yang memenuhi setiap ruang padang berkenaan, menurut Pasha lautan manusia itu telah mengalahkan kehadiran para penonton yang datang ke konsert mereka di Indonesia.
Malah Pasha menyifatkan penonton di sini adalah paling ramai sepanjang lebih 10 kali Ungu mengadakan konsert di Malaysia.
“Semalam ketika sampai di kota ini seperti tidak ada orang, sepi sangat tetapi malam ini dari mana penonton yang ramai ini.
“Ini jadi sejarah, kami tidak jangka sebanyak ini bahkan Indonesia (penonton) pun kalah,” katanya.
Mendendangkan 12 lagu popular mereka, Pasha tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan ucapan kemerdekaan ke-60 tahun kepada Sarawak.
“Malam ini kita bersatu untuk Sarawak.
“Yang datang dari Miri, mana suaranya, dari Sibu, Bintulu, Kuala Lumpur malah ada yang datang dari Pontianak, Indonesia dan Lampung,” ujarnya.
Ungu yang tampil di pentas kira-kira jam 10.45 malam itu mula menghiburkan penonton dengan lagu I Need You diikuti Ciuman Pertama serta Tercipta Untukku. – TVS