KUCHING, 23 Julai: Nostalgia di bangku sekolah menyuntik semangat kepada wartawan TVS menyertai acara perarakan sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada Sabtu.
Penyampai berita dan wartawan Yusuf Shukri berkata, beliau menyertai perarakan Hari Sarawak 2023 untuk merasai pengalaman itu sekali lagi kerana pernah menyertai acara itu semasa berada di Tingkatan 2.
“Semasa di perarakan semalam saya berpeluang menemui beberapa rakan yang pernah menyertai perarakan bersama-sama saya ketika bersekolah dahulu, dan mereka pun menyertainya kali ini kerana ingin mengingati kenangan dan pengalaman,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai salah seorang peserta perarakan kali, Yusuf menzahirkan rasa terujanya kerana berpeluang meraikan dan bersama turut serta melakar sejarah pada sambutan ke-60 tahun Sarawak mengecapi kemerdekaan.
Penglibatannya juga bagi Yusuf menjadi titik tolak menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri berikutan sebelum ini tidak berpeluang menyertai sambutan sebegini.
Pada Sabtu, Yusuf merupakan salah seorang ahli kontinjen Gabungan Media Sarawak yang disertai pengamal media lain seperti Bernama, New Sarawak Tribune, UKAS, Borneo Post, Cats FM serta TVS.
Beliau berpendapat pengalaman kali ini menyaksikan kesemua ahli kontinjen bersifat terbuka untuk mempelajari rutin persembahan dan pada masa sama mencerminkan bahawa pengamal media bersatu hati membentuk satu pasukan untuk menjayakan acara.
“Walaupun rutin persembahan kami tidaklah sempurna namun kami dari agensi media yang berbeza berjaya bergabung sebagai satu pasukan untuk menjayakan perarakan ini,” katanya. – TVS