KOTA SAMARAHAN, 23 Julai: Penganjur konsert harus melakukan tapisan dengan lebih teliti dan ketat terutamanya melibatkan latar belakang selebriti luar yang ingin dibawa masuk ke negara ini bagi mengadakan persembahan mereka, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, ia bagi mengelak perkara yang melanggar undang-undang dan budaya di negara ini tidak berlaku.
“Pihak penganjur sepatutnya membuat tapisan betul-betul. Anda tidak boleh membawa mereka yang tidak mempunyai adab dengan bercium di khalayak ramai di atas pentas dan kemudian mengkritik kerajaan.
“Artis luar kena menghormati undang-undang Malaysia, kita mempunyai tamadun begitu juga negara lain.
“Di Malaysia mereka kena menghormati kita dan saya tidak peduli siapa anda, walaupun nama anda besar dan popular, anda datang ke negara ini, anda kena hormat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Kejohanan Bonsai dan Suiseki Sarawak 2023 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata demikian bagi mengulas tindakan biadab vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy ketika melakukan persembahan dalam konsert Good Vibes Festival 2023 di ibu negara.
Mengulas lanjut, Abdul karim berkata, kelakuan biadab kumpulan berkenaan dengan sengaja menimbulkan provokasi terhadap undang-undang negara dan mengkritik kerajaan boleh dikategorikan tidak beretika dan tidak berfikir panjang.
Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu bahawa Sarawak melarang mana-mana panganjur acara untuk membawa kumpulan berkenaan ke negeri ini bagi melakukan persembahan kerana khuatir kejadian sama akan berulang.
“Tidak perlulah kepada mana-mana penganjur ingin membawa kumpulan itu, jangan pernah terfikir untuk melakukannya kerana bagi kita mereka patut diharamkan masuk ke Malaysia,” ujarnya.
Pada Jumaat, vokalis kumpulan itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass, Ross McDonalds di atas pentas.
Ia mendapat respons Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang memanggil pihak penganjur untuk mendapatkan penjelasan dan seterusnya mengarahkan pembatalan baki penganjuran konsert berkenaan. – TVS