Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan pemberian subsidi bagi membolehkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) terus dinikmati oleh penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak, Dewan Negara diberitahu hari ini. Foto fail: Bernama.

Kerajaan perlu strategi teliti untuk kesambungan udara di Malaysia Timur, kata pakar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Kerajaan perlu merangka strategi yang komprehensif dan difikirkan secara teliti untuk kesambungan udara di Malaysia Timur bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat yang melakukan perjalanan dalam Sabah dan Sarawak, kata penganalisis penerbangan.

Penganalisis Penerbangan, Endau Analytics, Shukor Yusof berkata Malaysia Timur menghadapi kesambungan jalan raya dan kereta api yang buruk terutama bagi kawasan luar bandar.

Beliau berkata oleh yang demikian, kesambungan udara akan menjadi cara terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai yang tinggal di kawasan yang sukar.

“Ini termasuk menyediakan kesambungan ke Semenanjung Malaysia dan melangkaui sempadan negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpandangan adalah baik untuk Malaysia Aviation Group (MAG) jika dapat memisahkan MASwings, syarikat penerbangan yang berkhidmat bagi kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah, supaya MAG dapat memberi tumpuan sepenuhnya sebagai syarikat penerbangan yang dipacu komersial.

MAG memiliki dan mengendalikan Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perbincangan pengambilalihan di antara kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Bhd yang memiliki MASwings menerusi MAG.

Pada Khamis lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan Persekutuan akan memastikan proses pengambilalihan MASWings berjalan lancar agar visi Sarawak untuk mempunyai syarikat penerbangan sendiri dapat direalisasikan segera.

Memorandum Persefahaman berkaitan pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan juga berlangsung pada Khamis di Kuching, Sarawak.

Shukor berkata perjanjian juga perlu menjelaskan pihak yang menanggung untung dan rugi untuk MASwings-Khazanah selain jika Sabah turut sesuai bagi skim itu.

Beliau turut berharap subsidi yang diberikan kepada MASwings akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung Malaysia di samping memacu ekonomi di Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

“Lebih-lebih lagi, perniagaan penerbangan adalah berintensifkan modal, selain itu permintaan dan penawaran dalam pasaran harus menentukan tambang penerbangan,” katanya.

Menurut Kementerian Pengangkutan, ia akan meneruskan subsidi untuk operasi MASwings di Sabah dan Sarawak, yang berjumlah RM210 juta setahun.

MASwings telah membawa sejumlah 2,407,954 penumpang, kebanyakannya dari kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, dari 2019 hingga 2022. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan