Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records daripada wakil pihak Malaysia Book Of Records, Lee Pooi Leng kepada Dato Wee Hong Seng disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian. Foto: TVS.

Hasil bendera Sarawak guna 10,280 botol plastik, MBKS cipta rekod MBOR

KUCHING, 23 Julai: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mencatat sejarah di dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menghasilkan bendera Sarawak terpanjang menggunakan botol plastik.

Dengan membuat lingkaran berbentuk huruf S, bendera Sarawak yang dihasilkan dengan botol plastik sepanjang 72 meter itu berjaya dihasilkan dengan kerjasama daripada 23 institusi pendidikan di bahagian Kuching Selatan.

Menurut Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, penghasilan bendera Sarawak menggunakan botol plastik itu adalah bersempena dengan Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2023 dan juga 60 Tahun Sarawak Merdeka.

“Jadi untuk cabaran ini kami ingin menunjukkan betapa serba bolehnya plastik, dengan menjadikan sisa sebagai karya seni yang memperingati masyarakat dan negara, bukan sahaja untuk 60 tahun yang lalu tetapi ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Setiap seorang daripada kita mesti mengajar anak-anak kita untuk menyayangi bandar dan alam sekitar. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mencapai visi untuk memupuk penjagaan alam sekitar untuk Kuching, Sarawak yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penutupan Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching 2023 : Handing Over Certificate From Malaysia Book Of Records – “The Longest State Flag Made Using Plastic Bottles” di MBKS semalam.

Sementara itu jelas Timbalan Premier Sarawak Merangkap Menteri Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Sim Kui Hian, pengiktirafan bendera Sarawak terpanjang menggunakan botol plastik itu juga selaras dengan strategi pembangunan pasca Covid yang menekankan nilai kelestarian alam sekitar.

“Itulah sebabnya di bawah PCDS salah satunya ialah kelestarian alam sekitar dan kelestarian alam sekitar itu tidak boleh diamalkan hanya kerana dasar kerajaan tetapi kita sebenarnya bercakap di peringkat tempatan di peringkat majlis, sekolah dan juga di rumah dan hari ini sebagai sebahagian daripada tugas kita iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan juga sebahagian ini daripada Tadbir Urus Lestari Alam Sekitar (ESG) MBKS,” jelas beliau.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Hilmi Othman serta wakil daripada pihak Malaysia Book Of Records, Lee Pooi Leng.

Majlis kemudian menyaksikan pemberian sijil penghargaan kepada wakil guru setiap sekolah yang terlibat dan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records daripada wakil pihak Malaysia Book Of Records, Lee Pooi Leng kepada Dato Wee Hong Seng dan disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian.

Untuk rekod, lebih daripada 21,000 botol plastik telah dikumpul dan sebanyak 10,280 botol plastik telah digunakan untuk menjayakan bendera Sarawak dengan lingkaran berbentuk S ini.

Antara sekolah yang terlibat dalam penghasilan bendera botol plastik ini ialah Sekolah Kebangsaan Tabuan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina No 2 dan Sekolah Kebangsaan Kenyalang. – TVS

 

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan