KUCHING, 23 Julai: Penerjun Sarawak, Bertrand Rhodict Lises mendedahkan dia telah melakukan kesilapan besar ketika beraksi dalam final acara 10 meter seirama lelaki, Isnin lepas pada Kejohanan Akuatik Dunia.
Penerjun berusia 18 tahun itu berkata, dia sangat kecewa namun berikrar untuk bangkit dalam acara individu.
“Segalanya boleh terjadi dan saya mengambil sedikit masa untuk buat perubahan dan lebih bersedia apabila turun dalam acara 10 meter platform,” katanya menerusi catatan di Instagramnya hari ini.
Premier Sarawak bangga kejayaan Bertrand Rhodict ke Olimpik Paris 2024
Ekoran kesilapan entry pada terjunan ketiga, Bertrand Rhodict yang bergandingan dengan Enrique Harold tidak diberikan sebarang markah oleh juri.
Duo Sarawak itu menamatkan acara berkenaan di tangga terakhir daripada 12 peserta dengan memungut 310.44 mata.
China meraih pingat emas acara itu manakala Ukraine membawa pulang perak dan wakil Mexico di tempat ketiga.
Berkenaan kemaraan acara 10 meter platform pula, Bertrand Rhodict berkata, dia sangat teruja kerana akan mewakili negara pada temasya sukan terbesar di dunia itu.
“Saya lakukan ini untuk Malaysia, pastinya sangat beremosi kerana muncul atlet pertama negara layak ke Olimpik 2024, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya,” katanya.
Bertrand Rhodict berkata, dia berterima kasih kepada rakan sepasukan yang memberi sokongan padu kepadanya.
“Begitu juga dengan barisan staf kejurulatihan yang bantu perkemaskan teknik terjunan selain sokongan oleh Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan Persekutuan Renang Malaysia (MAS),” katanya. -TVS