KUCHING, 23 Julai: Empat mayat dipercayai mangsa kapal MV Tung Sung yang karam dan terbalik di perairan Pulau Burung berjaya ditemukan sehingga kini.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, kesemua mayat terbabit dijumpai nelayan tempatan kira-kira 15 batu nautika arah timur laut Pulau Burung sekitar jam 1.15 hingga jam 5.25 petang semalam.
Katanya, mayat pertama dijumpai pada jam 1.15 petang diikuti mayat kedua 15 minit kemudian di lokasi yang sama manakala mayat ketiga ditemui sejam kemudian iaitu pada 2.30 petang sebelum mayat keempat ditemui jam 5.25 petang menjadikan empat mangsa telah ditemukan.
Justeru ujarnya, fokus pencarian seterusnya akan ditumpukan dikawasan penemuan keempat-empat mayat terbabit serta lokasi kapal terbabit ditemukan terbalik.
“Kita tidak boleh mengambil mudah operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini kerana mungkin masih ada mangsa yang terperangkap dan kesan pergerakan arus air pasang yang mungkin mayat-mayat tersebut akan timbul di kawasan-kawasan itu.
“Jadi kita sudah meliputi semua kawasan iaitu kawasan kapal itu terbalik di kawasan perairan Pulau Burung dan kapal besar KM Kota Kinabalu akan fokus di kawasan kita jumpa mayat pada petang ini (Sabtu),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penemuan empat mayat dipercayai mangsa kapal MV Tung Sung yang karam lalu terbalik di perairan Pulau Burung.
Tiga mayat daripada mayat terbabit dibawa ke Jeti Awam Sebuyau dan tiba di jeti berkenaan antara jam 3.18 hingga 3.26 petang.
Manakala mayat keempat dibawa Jeti Kompleks Maritim Tun Ahmad Sallahuddin di Muara Tebas dan tiba di jeti berkenaan jam 8.30 malam.
Kesemua mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakkan lanjut.
Terdahulu, Kapal kargo MV Tung sung dengan muatan batu kerikir itu berlepas dari Kuching ke Sibu pada 19 Julai bersama lapan anak kapal sebelum dilaporkan karam dan terbalik pada pagi 20 Julai lalu. -TVS