LANGKAWI, 22 Julai: Seorang wanita cedera selepas membuka satu bungkusan di belakang sebuah restoran di Pantai Chenang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita warga asing yang juga pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) berusia 26 tahun tersebut mengalami kecederaan pada muka dan badan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan mendapati pengusaha kedai makan itu cuba membuka satu bungkusan selepas melihat objek tersebut.
“Bungkusan itu telah meletup sehingga mencederakan bahagian muka dan badan sebelum dia dikejarkan ke hospital, namun mangsa sedar dan stabil.
“Wanita itu merupakan pengusaha kedai makan tersebut dengan menyewa bahagian belakang restoran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – TVS