SEBUYAU, 22 Julai: Tiga mayat yang dipercayai kru kargo MV Tung Sung yang terbalik dan karam kelmarin berhampiran Pulau Burung ditemui terapung awal petang tadi.
Jurucakap Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak berkata, mayat pertama ditemukan oleh bot nelayan pada pukul 1.15 petang pada kedudukan kira – kira 15 batu nautika dari perairan berkenaan.
Katanya, penemuan itu telah dilaporkan kepada Kapal Maritim KM Kota Kinabalu.
“Mayat kedua pula ditemui 15 minit kemudian oleh bot nelayan sama manakala mayat ketiga pula pada pukul 2.30 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jurucakap itu turut memaklumkan, mayat pertama dibawa oleh Bot Pengawal Pantai Sarawak SC Terubuk tiba di Jeti Awam Sebuyau pukul 3.18 petang manakala mayat kedua dan ketiga tiba lapan minit kemudian.
Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Setakat ini identiti tiga mangsa itu belum dapat disahkan.
Dalam kejadian pada tengah hari Khamis lepas, sembilan anak kapal dikhuatiri lemas selepas pengangkutan itu terbalik dan karam.
Kesemua mereka terdiri daripada empat rakyat Malaysia, seorang warga Indonesia dan empat warga Myanmar. -TVS