Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) bersama isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali merakam gambar kenangan selepas merasmikan Pameran Jelajah Digital. Foto: TVS

Perarakan Sarawak Merdeka unik, capai objektif cintakan tanah air – Abdul Karim

KUCHING, 22 Julai: Perarakan sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka yang diadakan di Padang Merdeka di sini, pagi tadi, berjaya mencapai objektif mengajak rakyat Sarawak mencintai tanah air.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau gembira dengan semangat yang ditunjukkan kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.

Menurutnya, perarakan yang diadakan tahun ini juga dilihat unik dan menimbulkan keceriaan kepada semua kontinjen perbarisan yang mengambil bahagian.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menurunkan tandatangan secara digital sebagai simbolik perasmian Pameran Jelajah Digital sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka. Turut kelihatan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Foto: TVS

“Kalau kita lihat acara yang biasanya badan beruniform yang terlibat, ia biasanya berbentuk perbarisan, tetapi pada hari ini terdapat keceriaan di mana ia melibatkan lagu-lagu dan tarian dari tahun 60-an dan ke atas dan kita dapat lihat semua kontinjen yang terlibat itu merasa amat gembira sekali,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Jelajah Digital bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang diadakan di sebuah pusat membeli-belah terkenal di sini, hari ini.

Hadir sama isteri beliau Datin Zuraini Abdul Jabbar dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Ditanya mengenai persembahan kontinjen yang mengambil bahagian, Abdul Karim menjelaskan beliau turut teruja dan sentiasa mengambil gambar kontinjen yang disifatkan beliau mempunyai keunikan tersendiri.

“Apabila saya mengambil video dan gambar, saya percaya juri-juri yang akan menentukan siapa yang jadi pemenang dalam kategori-kategori tertentu memang agak sukar sedikit,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan