KUCHING, 21 Julai: “Saya berlatih sejak berumur empat tahun”.
Demikian kata penerjun kelahiran Sarawak, Bertrand Rhodict Lises yang mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama layak beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet berusia 18 tahun itu berkata demikian menerusi siaran langsung di Instagramnya petang tadi.
TERKINI : Bertrand Rhodict muncul atlet Malaysia pertama layak ke Olimpik Paris 2024
Terdahulu, Bertrand bergelar olympian pertama Malaysia bagi edisi sukan terbesar dunia 2024 menerusi acara 10 meter platform lelaki.
Pencapaian itu dicatatkan selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun hari ini.
Dalam separuh akhir, Bertrand menduduki tempat ke-10 daripada 18 peserta dengan mengumpul 420.70 mata selepas melengkapkan enam terjunan.
Atlet China, Lian Junjie mengungguli saingan dengan 505.50 mata manakala Cassiel Rousseau dari Australia di tempat kedua dengan 494.10 mata.
Seorang lagi wakil China, Yang Hao pula di tempat ketiga.
Acara akhir akan berlangsung tengah hari esok.
Sementara itu, Bertrand Rhodict yang menyumbang emas kepada Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas berkata, dia akan mencuba yang terbaik dalam final esok namun tidak menjanjikan sebarang pingat.
“Tidak janjikan tetapi (penyokong) doakan saya. Ketika ini kecederaan pergelangan tangan yang dihadapi belum pulih sepenuhnya namun keadaan saya semakin baik,” katanya.
Berbalik kepada kejayaannya ke Paris tahun lepas, Bertrand berkata, segala usaha kerasnya selama ini berhasil.
“Adakah saya sedang bermimpi, entah saya tidak pasti namun beraksi di pentas Olimpik merupakan impian setiap atlet,” katanya sambil berterima kasih kepada penyokongnya. -TVSÂ