KUCHING, 22 Julai: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) belum menerima butiran lanjut berkenaan isu jurulatih dodgeball yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap beberapa murid di sebuah sekolah di Petaling Jaya.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri mengesahkan perkara itu sambil mendedahkan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.
” Belum lagi setakat ini kerana kes ini lebih kepada kes melibatkan penyiasatan oleh pihak polis dan mereka perlu menyiasatnya terlebih dahulu.
“Siasatan tersebut harus dilengkapkan terlebih dahulu baharulah kita akan menyimpan rekod berkenaan kes itu untuk rujukan kita namun ia bukan berbentuk tindakan di pihak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Anti Gangguan Seksual di sini pada Jumaat.
Menurut Nancy, walaupun kes tersebut melibatkan gangguan seksual namun ia tidak semestinya perlu dipertanggungjawabkan kepada kementerian itu sepenuhnya.
Katanya, perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu agar setiap tindakkan yang bakal diambil tidak bercanggah atau berselisih dengan tindakan yang diambil oleh agensi-agensi lain.
Jelasnya, kes berkaitan jurulatih dodgeball tersebut, terdapat agensi lain yang akan mengambil tindakan dan ia tidak melibatkan KPWKM.
“Kes itu ada agensi lain yang akan mengambil tindakan dan ia bukan dibawah kementerian kita untuk mengambil tindakan berkaitan,” katanya. -TVS