Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama pemimpin kerajaan negeri mengibarkan bendera Sarawak sempena Sambutan Sarawak Merdeka 60 Tahun di sini hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

Ekonomi Sarawak di landasan kukuh dipacu teknologi digital, data dan inovasi – Abang Johari

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 22 Julai: Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah ekonomi yang dipacu oleh teknologi digital, data dan inovasi, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, sejak mengambil alih pentadbiran pada 2017, beliau dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berusaha sedaya upaya untuk mengangkat status ekonomi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Pemimpin Sarawak terdahulu letakkan asas kukuh – Abang Johari

Kata Abang Johari, perubahan dapat dilihat malah Sarawak telah mencatatkan pencapaian yang membanggakan.

“(Menerusi) beberapa inisiatif digital, Sarawak sekarang merupakan negeri yang agak ke hadapan dalam proses ke arah digitalisasi ekonomi dan pentadbiran sepenuhnya,” katanya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir, tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Majlis sambutan berskala besar itu turut dihadiri Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pelbagai inisiatif baharu juga telah diperkenalkan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak dan seterusnya menambah hasil pendapatan negeri.

Melalui inisiatif revenue re-engineering, Sarawak berjaya menambah hasil pendapatan negeri kepada RM11.9 bilion pada 2022 yang merupakan suatu rekod kerana pada kebiasaannya hasil negeri berada pada tahap RM4 ke RM5 bilion sahaja.

Bendera Sarawak dinaikkan sempena Sambutan Sarawak Merdeka 60 Tahun di Padang Merdeka, Kuching, di sini hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

“Ini merupakan peningkatan satu kali ganda dalam masa empat tahun,” kata beliau.

Pada masa sama kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan Cukai Jualan (SST) ke atas produk-produk petroleum untuk eksport dan juga ke atas produk-produk eksport lain termasuk aluminium, arang batu dan produk kayu-kayan tertentu.

“Pada 2017 Kerajaan Sarawak telah menubuhkan syarikat minyak dan gasnya sendiri, PETROS untuk membangunkan sumber minyak dan gas di luar pantai Sarawak bersama Petronas melalui pemegangan ekuiti dan di kawasan pantai negeri ini dengan hak penuh seperti yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).

“Sekarang, PETROS merupakan syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia dengan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion pada 2022,” katanya.

Peserta memperagakan pakaian seragam lama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Perhimpunan dan Perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka, hari ini. Foto Bernama.

Kejayaan yang dicatat oleh Sarawak kata Abang Johari juga telah diiktiraf badan antarabangsa.

“Seperti yang semua mungkin sedia maklum Bank Dunia baru-baru ini telah mengkategorikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.

“Saya yakin dalam tempoh tujuh tahun seterusnya sehingga 2030 pendapatan negeri ini akan terus meningkat dengan perluasan asas kutipan hasil melalui inisiatif-inisiatif di bawah ekonomi hijau,” katanya lagi.

Berkenaan dengan kemerdekaan Sarawak pula, beliau berkata, status itu merupakan suatu legasi yang harus diperkasa.

“Kuasa untuk memerintah negeri dan menentukan hala tuju pembangunan Sarawak yang diletakkan pada bahu anak Sarawak sendiri.

“(Ini merupakan) legasi kemerdekaan yang harus terus diperkasakan dan diberi pengisian untuk menjadikan negeri ini sebuah negeri yang maju, aman dan makmur dan dikenali masyarakat serantau dan dunia luar,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan