Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga dari kanan) hadir pada Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini hari ini. Foto kredit UKAS.

Abang Johari tekad teruskan usaha pemimpin Sarawak terdahulu dalam MA63

KUCHING, 22 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan untuk meneruskan usaha pemimpin terdahulu dalam mengembalikan hak Sarawak yang terhakis seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Berucap dalam majlis perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini hari ini, beliau berkata perjuangan itu akan diteruskan sehingga semua peruntukan dan hak negeri dalam perjanjian berkenaan dihormati dan dikotakan.

Mengimbau kembali sejarah pembentukan Sarawak, beliau berkata kelima-lima pemimpin negeri terdahulu telah meletakkan asas kukuh dalam memajukan negeri Bumi Kenyalang sejak enam dekad lepas.

“Mereka meletakkan asas yang kukuh menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama, merencanakan pembangunan untuk memodenkan ekonomi Sarawak, penurunan kuasa dan pengembalian hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya. 

Lima pemimpin negeri yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sarawak ialah mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, mendiang Datuk Tawi Seli, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang mengembalikan 52 lot tanah yang tidak dibangunkan kepada kerajaan negeri, termasuk bangunan Pejabat Pos Sarawak yang bersejarah, baru-baru ini. 

Bertemakan “Sarawak Maju Makmur”, sambutan hari ini juga menyaksikan lebih 70 kontinjen mengambil bahagian dalam acara perhimpunan dan perarakan bersempena dengan perayaan itu.

Kibaran bendera Sarawak berwarna merah, hitam dan kuning menghiasi Padang Merdeka dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri kawasan di sekitar padang itu sejak 6 pagi tadi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan