KUCHING, 21 Julai: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menegakkan amalan legasi pemimpin terdahulu yang giat menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, kerajaan juga akan berusaha memperkenalkan lebih banyak kaedah serta inisiatif mengukuhkan keharmonian negeri ini.
Beliau mengakui pelaksanaan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) merupakan contoh inisiatif Sarawak dalam usaha mengekalkan hasrat berkenaan untuk dinikmati generasi akan datang.
“Keterangkuman sosial adalah salah satu daripada tiga tunjang pentadbiran saya untuk membawa Sarawak menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Apa jua pembangunan dan program dan rancangan sosioekonomi yang kita ada, kita akan pastikan ia akan memberi manfaat seluruh masyarakat di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 2023 bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka 2023, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, yang juga merangkap Timbalan Menteri bertanggungjawab bagi Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 2023.
Menurut Abang Johari lagi pembentukan UNIFOR merupakan contoh utama mengenai keterangkuman sosial yang diamalkan oleh Kerajaan Sarawak.
“Ia (UNIFOR) ditubuhkan pada 2017 untuk memupuk muhibah, pemahaman yang lebih baik, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama,” ujarnya.