KOTA SAMARAHAN, 21 Julai: Seramai 300 warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tidak ketinggalan dalam meraikan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Amphitheater Tasik UNIMAS pada Jumaat.
Masing-masing yang hadir terdiri daripada staf dan pelajar kelihatan cantik dan segak mengenakan busana kebangsaan dan kaum etnik berwarna-warni hari ini.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohd Kadim Suaidi dałam pada itu berkata UNIMAS komited dan sentiasa terbuka untuk membantu Kerajaan Sarawak dalam memacu jentera ekonomi.
“UNIMAS sentiasa menyokong untuk menggerakkan pelbagai agenda dalam kerajaan negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) seperti bidang pendigitalan, keselamatan makanan, perubahan iklim dan banyak lagi,” katanya ketika melancarkan bulan kemerdekaan 2023 peringkat UNIMAS di sini.
Beliau juga menyeru seluruh warga kampus agar memainkan peranan dan cakna terhadap tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan keharmonian di antara kaum, saling hormat-menghormati demi kelangsungan kesejahteraan negeri dan negara.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan pegawai-pegawai pengurusan UNIMAS.
Kemeriahan sambutan Sarawak 60 Tahun Merdeka di peringkat UNIMAS turut diserikan dengan formasi angka 60 tahun, menerusi kayuhan kayak yang dibentuk oleh para atlet kayak UNIMAS, sebagai simbolik Bumi Kenyalang telah mengecapi 60 tahun kemerdekaan. – TVS