SEBUYAU, 21 Julai: Kesemua mangsa yang dipercayai hilang selepas sebuah kapal kargo karam di perairan Pulau Burung, Sebuyau dipercayai masih terperangkap dalam kapal berkenaan.
Pengarah Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman MD Yunus berkata, kejadian kapal terbalik merupakan insiden yang jarang berlaku memandang kapal-kapal besar mempunyai sistem pengimbangnya melainkan ia dibadai ombak besar.
Menurutnya susulan kejadian itu, terdapat kemungkinan kesemua kru kapal tersebut terperangkap di dalam kapal terbabit disebabkan kejadian itu berlaku agak pantas sehingga menyebab mereka tidak sempat menyelamatkan diri.
“Namun kita tidak akan pasti selagi kita tidak melakukan pemeriksaan ke dalam kapal tersebut yang sekarang ini ia nya telah terkandas di dasar dan tidak bergerak.
“Kawasan berlakunya kapal terbalik itu airnya keruh dan kedalamannya adalah lebih kurang lima meter…jadi untuk melakukan operasi menerai dan menyelamat sebenarnya mempunyai risiko yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kapal MV Tung Sung yang terbalik pada jarak empat batu nautika arah barat daya Pulau Burung di sini pada Jumaat/
Zin Azman menambah laporan awal semalam mengatakan terdapat sembilan kru kapal yang terlibat namun syarikat pemilik kapal tersebut mengesahkan kepada Pusat Pencarian dan Penyelamatan Maritim (MSRC) bahawa hanya lapan kru sahaja yang terlibat dalam kejadian itu selepas salah seorang krunya tidak mengikuti pelayaran tersebut.
Beliau dalam pada itu menyatakan Maritim Malaysia percaya insiden tersebut berlaku pada tengah malam pada 19 Julai lalu ketika keadaan cuaca yang kurang baik pada laluan pelayaran kapal berkenaan dari Kuching menuju ke Sibu.
Justeru itu, katanya tindakan untuk mengapungkan kapal tersebut merupakan langkah terakhir selepas operasi SAR terbabit masih tidak menemui kesemua mangsa.
“Proses untuk melakukan pengapungan ini memerlukan tempoh yang agak lama sebab proses untuk mendapatkan kapal, kren dan juga tenaga penyelam yang pakar dan mahir untuk melakukan kerja-kerja menyelam dan juga membuat persediaan untuk melakukan peengapungan tersebut.
“Jadi kita jangkakan proses ini akan mengambil masa namun kejayaannya pasti dapat membantu dalam operasi agensi penyelamat mengesan mangsa-mangsa tersebut,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata operasi SAR teersebut akan tetap diteruskan berikutan terdapat kemungkinan kesemua mangsa tersebut dihanyutkan sama ada ke kawasaan persisir pantai atau ketengah laut.
Zin Azman memberitahu operasi pada hari kedua hari ini telah diperluaskan kepada jarak 373.65 batu nautika persegi dari lokasi kapal tersebut terbalik.-TVS