KOTA KINABALU, 20 Julai: SME Bank telah menyalurkan peruntukan lebih RM500 juta kepada 727 usahawan di Sabah, kata Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, setakat Jun tahun ini pula, sebanyak RM48 juta telah disalurkan berbanding RM168 juta pada tahun lepas.
Kata beliau, agihan itu dilihat memberangsangkan dan berharap menerusi program berterusan dilaksanakan oleh SME Bank, lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah menerima manfaat.
“Antara pemangkin utama sektor perniagaan yang dikenal pasti oleh SME Bank di Sabah membabitkan industri pembuatan, pembinaan dan pelancongan.
“(Sehubungan itu) kita akan terus membantu kerajaan negeri untuk membangunkan usahawan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom XCESS SME Bank Pusat Wlayah Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datin Azira Othman dan Presiden Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail.
Sementara itu Ewon berkata, pembangunan PMKS memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Saya yakin menerusi sokongan diberikan oleh SME Bank, ini akan dapat membantu mempertingkatkan lagi sumbangan usahawan PMKS terhadap kemakmuran ekonomi Sabah dan Malaysia,” katanya. -TVS