KUCHING, 20 Julai: Dilema sering membelenggu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adakah ingin melanjutkan pengajian atau bekerja.
Prihatin terhadap perkara itu, beberapa ahli akademik berpendapat, golongan tersebut amat digalakkan agar melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia bukan semata-mata untuk menimba ilmu tetapi juga untuk meningkatkan kemahiran amali dan kognitif.
Pro Naib Canselor (Penyelidikan, Pengajian Siswazah dan Endowmen) Kolej Universiti i-CATS, Prof Dato’ Dr Shazali Abu Mansor menekankan tidak kira apa pun bidang pengajian yang diambil di institusi pengajian tinggi (IPT), kemahiran yang diperoleh daripada ugasan yang diberikan itu adalah yang paling penting.
“Tak kisah ijazah apa asalkan ada ijazah maksudnya anda boleh berfikir, boleh menganalisa sesuatu masalah. Ijazah lain tapi kerja dalam bidang lain, tetapi orang tahu dengan latihan dalam universiti, anda boleh menganalisis.
“Cara anda berfikir…itu yang kita latih di universiti,” katanya menerusi program bual bicara Dialog TVS yang disiarkan malam ini.
Beliau tidak menafikan bahawa jika seseorang memilih melanjutkan pengajian, mereka itu perlu banyak berkorban.
Namun setelah tamat pengajian dan berjaya menggenggam segulung ijazah, pelajar itu akan berasa puas dan berbaloi dengan usaha sepanjang pengajian.
“Antara yang perlu kita korbankan adalah pendapatan kita tiga tahun itu. Tiga tahun pendapatan katakan sebulan RM1,500, setahun RM18,000, tiga tahun dalam RM50,000 ke RM60,000 kena korbankan, tak dapat gaji.
“Tapi di sini (IPT) kita terpaksa bayar. Kita terpaksa korbankan kos, dalam masa yang sama kita terpaksa bayar (pinjaman pendidikan)
“Benda ini nanti yang mendatangkan kepuasan. Kepuasan yang nilainya lebih daripada apa yang telah kita korbankan, berapa yang kita bayar.
“Katakan dengan STPM gaji RM1,500, kalau ada ijazah mungkin RM1,000 perbezaan, jadi dalam masa lima ke enam tahun, terbayar semula apa yang dikorbankan,” ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Remmy Gedat berkata masalah kewangan tidak wajar dijadikan penghalang kerana kini terdapat banyak biasiswa dan pinjaman pendidikan.
“Kita juga ada Sarawak Endowment Fund, wakaf, mereka diberi komputer riba secara percuma. Kadang-kadang pelajar tak ada komputer riba, jadi dia rasa tak bersemangat, tak nak meneruskan pelajaran tapi sebenarnya kita juga menyediakan komputer riba percuma kepada yang berkelayakan,” ujarnya.
Kedua-dua ahli akademik berkenaan menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mendepani cabaran pada masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam sektor-sektor penting.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka dalam memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka dalam apa jua perkara yang mereka lakukan, terutamanya dalam bidang pendidikan. – TVS