Lebihan dagangan bagi Jun 2023 itu juga merupakan nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan untuk bulan Jun, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, seiring dengan permintaan global yang lebih perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, jumlah dagangan menguncup 16.3 peratus kepada RM222.14 bilion pada Jun 2023, manakala eksport susut 14.1 peratus kepada RM123.98 bilion dan import menurun 18.9 peratus kepada RM98.16 bilion.
“Prestasi itu serupa dengan pasaran serantau lain terutamanya China, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Korea Selatan, yang mencatatkan pertumbuhan perdagangan negatif bagi Jun 2023,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan eksport terutamanya didorong oleh minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, yang menguncup sebanyak RM5.3 bilion; keluaran petroleum (-RM5.1 bilion); gas asli cecair (-RM2.6 bilion); petroleum mentah (-RM1.4 bilion); produk perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM1.4 bilion) dan kimia & bahan kimia (-RM1.3 bilion).
Manakala bagi penguncupan import direkodkan bagi produk elektrik dan elektronik (-RM7.2 bilion); keluaran petroleum (-RM7.1 bilion); kimia dan bahan kimia (-RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (-RM1.5 bilion); kelengkapan pengangkutan (-RM1.4 bilion); gas asli cecair (-RM1.1 bilion), serta barangan besi dan keluli (-RM1.0 bilion), tambahnya.
Mengenai destinasi eksport, Mohd Uzir berkata pengurangan eksport disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat yang jatuh sebanyak RM3.2 bilion, diikuti Kesatuan Eropah (-RM2.7 bilion), Bangladesh (-RM1.9 bilion), Jepun (-RM1.8 bilion), India (-RM1.7 bilion), Thailand (-RM1.6 bilion), China (-RM1.5 bilion), Taiwan (-RM1.1 bilion) dan Hong Kong (-RM1.0 bilion).
Manakala penurunan import adalah dari China (-RM6.1 bilion), Taiwan (-RM2.7 bilion), Korea Selatan (-RM2.6 bilion), Amerika Syarikat (-RM2.5 bilion), Singapura (-RM2.4 bilion), Indonesia (-RM1.9 bilion), Australia (-RM1.6 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.6 bilion) dan India (-RM1.1 bilion), katanya.
Berbanding Mei 2023, Mohd Uzir berkata eksport dan lebihan dagangan pada Jun 2023 masing-masing meningkat 3.7 peratus dan 64.4 peratus, manakala import dan jumlah dagangan masing-masing menguncup 5.4 peratus dan 0.5 peratus.
Pada asas suku tahunan, DoSM berkata jumlah dagangan bagi suku kedua (S2) 2023 merosot 11.3 peratus kepada RM643.2 bilion berbanding S2 2022, dengan eksport merosot 11.1 peratus kepada RM348.7 bilion daripada RM392.3 bilion pada tahun sebelumnya, dan import merosot 11.5 peratus kepada RM294.5 bilion.
Pada S2 2023, lebihan dagangan menyusut 8.8 peratus kepada RM54.1 bilion, tambahnya.
Bagi enam bulan pertama 2023, DoSM berkata jumlah dagangan menurun sebanyak 4.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas disebabkan kemerosotan dalam eksport (menguncup 4.5 peratus) dan import (-4.7 peratus).
Namun begitu, lebihan dagangan merekodkan nilai lebih tinggi sebanyak RM118.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, katanya. -TVS