Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Billy Sujang ketika ditemui TVS semasa hadir pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun di Teluk Melano, di sini, hari ini. Foto: Zaim Zharfan (TVS).

Kibar bendera, semarakkan Hari Sarawak – Billy

ByHafeezzur Muzamir

LUNDU, 20 Julai: Rakyat di negeri ini digesa agar menghayati nilai patriotisme bersempena sambutan Hari Sarawak pada Sabtu ini, dengan mengibarkan bendera Sarawak pada sepanjang bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, inisiatif mengibarkan bendera Sarawak akan mempamerkan semangat cinta akan negeri sekali gus menghargai tarikh penting untuk Sarawak yang telah mencapai pemerintahan sendiri pada 60 tahun yang lalu.

“Mengibarkan bendera Sarawak itu merupakan satu kemestian bagi kita dalam mengingati tanggal 22 Julai iaitu tarikh kemerdekaan Sarawak.

“Sudah 60 tahun kita mengecapinya, jadi kita harus terus menanam sikap untuk memperingati apa yang telah dilalui negeri ini terutama sekali dalam kalangan generasi muda masa kini.

“Kami pemimpin dalam kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak agar dapat terus menyemarakkan semangat cinta akan Sarawak dengan menggalakkan masyarakat melalui kibaran bendera dan juga menghayati nyanyian lagu patriotik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun di Teluk Melano, di sini, hari ini.

Turut hadir, Residen Bahagian Kuching, Fathi Hambali dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Abang Aziz Abang Draup.

Mengulas lanjut, Billy berkata, Hari Sarawak juga menuntut rakyat di negeri ini menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam memperjuangkan keharmonian dan keamanan yang dimiliki pada hari ini.

“Tanpa perjuangan daripada pemimpin yang terdahulu, kita tidak akan menikmati apa yang ada pada hari ini.

“Kita dapat menikmati kemakmuran dan juga perpaduan yang membantu Sarawak diiktiraf antara negeri berpendapatan tinggi pada masa ini,” ujarnya.

Terdahulu, majlis menyaksikan 100 peserta konvoi yang mengelilingi bahagian Lundu diraikan masyarakat setempat.

Untuk rekod, tarikh 22 Julai telah diisytiharkan sebagai cuti umum untuk negeri Sarawak oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada 23 April 2016 bagi menghormati dan mengingati pengorbanan serta sumbangan para pemimpin terdahulu yang telah berjuang untuk kemerdekaan Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan