TANJUNG MANIS, 20 Julai: Kerajaan mempertimbangkan permohonan membina sebuah klinik kesihatan di Kampung Selalang berikutan pusat rawatan terdekat terletak kira-kira 44 kilometer dari sini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
Cadangan daripada wakil rakyat di kawasan berkenaan disifatkan beliau wajar susulan lokasi kampung berkenaan jauh dari pusat bandar Sarikei iaitu sekitar sejam perjalanan.
Lukanisman mendedahkan tanah persekutuan juga terdapat di kawasan kampung berkenaan.
“Tapak yang sedia ada sesuai bagi tujuan itu, cadangan pembinaan klinik adalah wajar dalam usaha kita meningkatkan lagi akses kesihatan kepada rakyat.
“Sehubungan itu, dalam lawatan siri lawatan selama tiga hari ke kawasan ini, tumpuan kita lebih kepada pembinaan klinik di daerah yang belum memiliki kemudahan berkenaan,” katanya kepada TVS di sini, pada Rabu.
Lukanisman menambah beliau akan mengusulkan cadangan tersebut ke peringkat kementerian dan menyenaraikan perkara itu dalam senarai utama yang akan dibentangkan kepada pihak Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 63 (MA63).
Beliau juga yakin Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab akan membawa cadangan tersebut ke perbahasan kajian separuh penggal Persidangan Dewan Rakyat nanti.
“Jika persoalan ini dikemukakan, sudah pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan jawapan rasmi,” katanya.
Terdahulu, Lukanisman turut meninjau keperluan klinik kesihatan di Tanjung Manis dan Hospital Daerah Daro.- TVS