KUCHING, 20 Julai: Keputusan Kerajaan Sarawak mengambil alih MASWings memperuntukan negeri ini mewujudkan kerangka pengurusan yang memenuhi simbiosis perniagaan.
Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Aila Abdul Latif berkata tindakan itu seharusnya memenuhi kehendak pihak berkepentingan, rakyat, komuniti perniagaan serta permintaan global.
“Ini kerana kita harus menggunakan peluang yang ada ini untuk menjana nilai, pendapatan dan keuntungan.
“Kerangka pengurusan yang kita hendak lihat haruslah menganalisis daripada segi jangka panjang dan pendek berkaitan pada masa sama ia harus memenuhi simbiosis perniagaan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu bual bicara khas terbitan TVS sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services – RAS) antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, di sini, pada Khamis.
Dr Aila menambah pengambilalihan RAS menjadikan Sarawak mempunyai tarikan inovasi baharu yang boleh dikaitkan dengan simbiosis perniagaan dan secara tidak langsung memenuhi keperluan industri di masa akan datang menjadikan pelabur sanggup membayar terhadap penawaran yang ada.
Pada Khamis, Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Dato Sri Lee Kim Shin mewakili Kementerian Pengangkutan Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services – RAS) antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan. – TVS