Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Unit K9 bomba antara tarikan utama pada perarakan Sambutan Hari Sarawak Sabtu ini.

Unit K9 Bomba turut beraksi pada perarakan, Sabtu ini

ByAmirah Shawel

KUCHING, 18 Julai: Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bakal beraksi pada perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka, pada Sabtu ini.

Penyelia dan Pengendali Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, PBK I Kenneth Masir berkata penglibatan anjing pengesan dalam perarakan kali ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada khalayak ramai tentang kewujudan unit berkenaan.

Unit K9 bomba antara tarikan utama pada perarakan Sambutan Hari Sarawak Sabtu ini. Foto: TVS

Menurutnya, sebelum ini orang ramai hanya mengetahui unit ini dimiliki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja.

“Kita ingin mendedahkan kepada orang awam pihak bomba juga memiliki anjing pengesan sendiri.

“Unit K9 baru ditubuhkan di Sarawak pada 2018, berbeza dengan JBPM di Semenanjung Malaysia yang telah ditubuhkan sejak 2001. Mereka ini juga kebanyakannya dibawa dari sana,” katanya ketika ditemui TVS pada raptai perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, hari ini.

Berbeza dengan anjing pengesan PDRM, beliau menjelaskan Unit K9 bomba memiliki tiga kepakaran berlainan mengikut disiplin yang dipraktikkan di Sarawak.

Anjing Pengesan (K9) bomba, Daisy pernah berjaya mengesan kanak-kanak 2 tahun hilang di Lundu beberapa bulan lalu. Foto: TVS

Kepakaran berkenaan kata Kenneth ialah mengesan mayat di darat dan di air, mencari orang hilang dan menyiasat kes-kes khianat.

“Contohnya, salah seekor anjing pengesan kita, Wave akan menyiasat kebakaran melibatkan kes khianat. Dia boleh kesan tujuh jenis bahan berasaskan petroleum.

“Anjing pengesan bomba juga adalah bersaiz lebih kecil berbanding Unit K9 polis kerana lebih laju dan mudah untuk dibawa semasa menjalankan operasi di pelbagai lokasi,” ujarnya.

Sementara itu, Kenneth menambah unit itu merupakan unit anjing pengesan tunggal yang ditubuhkan di Sarawak iaitu di Balai Bomba dan Penyelamat Serian.

Justeru itu, katanya kes-kes berkaitan di seluruh Sarawak yang memerlukan tindakan Unit K9 akan dikendalikan oleh balai bomba tersebut.

“Kita hanya ada enam ekor anjing saja. Memang unit dari Serian yang akan bertindak sebab kita ‘cover’ satu negeri,” jelasnya.

Kenneth memberitahu penubuhan unit anjing pengesan di setiap balai bomba di seluruh Sarawak memerlukan peruntukan yang besar, selain anggota terlatih dan berkemahiran tinggi untuk mengendalikan K9.

“Di Sarawak, lapan orang anggota bomba sahaja terlatih sebagai pengendali Unit K9,” katanya lagi.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan