Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menerima laporan polis sebanyak 86,538 sepanjang 2023 berbanding tahun 2022. Foto PDRM

Polis tumpaskan sindiket pelaburan dan judi antarabangsa dalam talian

ByBernama

BALIK PULAU, 19 Julai: Polis berjaya menumpaskan sindiket pelaburan dan judi antarabangsa dalam talian dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang warga asing melalui beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata serbuan dilakukan selepas polis bertindak hasil maklumat dan risikan berkaitan sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan pertama pada 7.30 malam di sebuah rumah di kawasan persiaran Pantai Jerjak, Bayan Lepas, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 30 hingga 41 tahun dipercayai menjalankan kegiatan pelaburan serta perjudian dalam talian di situ.

“Pemeriksaan awal menemukan unsur judi dalam talian yang menggunakan pautan “bwc88nep.com” dan “merc.adminbwc88ags.com”,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis seterusnya menyerbu sebuah rumah di Jelutong pada 10.35 malam dan menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun manakala serbuan di sebuah pejabat di Jelutong kira-kira sejam kemudian mendapati premis itu dijadikan tempat mereka menjalankan kegiatan perjudian dalam talian berkenaan.

“Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis berkenaan sebagai tempat menghasilkan iklan dan pengedaran iklan bagi platform perjudian “bwc88nep.com” serta “merc.adminbwc88ags.com” ke Nepal, Singapura dan Malaysia,” katanya.

Kamarul Rizal berkata pemeriksaan di premis itu turut menjumpai satu mesin disyaki untuk melombong mata wang kripto dan terdapat gangguan pada meter elektrik Tenaga Nasional Berhad.

Beliau berkata antara barangan dirampas dalam serbuan berkenaan ialah lapan monitor komputer, lima komputer riba, lima komputer, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, kad bank dan buku nota mengandungi skrip iklan promosi judi dalam talian.

Katanya sindiket yang disyaki beroperasi sejak September 2021 itu akan bertukar lokasi dalam tempoh sebulan hingga enam bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Semua yang ditahan sedang direman empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan