KUCHING, 19 Julai: Perarakan sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka merupakan platfrom untuk mengeratkan sillaturrahim dalam kalangan masyarakat serta memupuk semangat daya saing yang sihat antara kontinjen.
Tinjauan TVS di Padang Merdeka menemui Raziq Rahman yang menzahirkan rasa teruja menyertai perarakan yang disifatkannya sebagai cerminan perpaduan bukan sahaja antara kaum bumiputera Sarawak malah antara komuniti India dan Cina juga yang tinggal di Sarawak.
“Perpaduan ini selari dengan Kerajaan Perpaduan dan konsep Malaysia MADANI dan saya rasa sangat bersyukur berada di Sarawak yang sangat aman dan makmur,” kata kakitangan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini yang sudah menetap di Sarawak selama 10 tahun di Sarawak.
Tambahnya, pemilihan lagu ‘Dreamers’ untuk perarakan kontinjen UNIMAS yang terdiri daripada 60 ahli juga amat bertepatan dengan wawasan warga UNIMAS yang sentiasa berazam untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
“Persembahan kontinjen UNIMAS mempunyai elemen seperti tarian dan berkawad,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua kontinjen Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA), Jacquelyne Ekot, turut berbangga kerana berpeluang perarakan yang berjaya menyatukan pelbagai kaum dan etnik yang lain di Sarawak.
“OUNA mewakili Orang Ulu dan saya sendiri berbangsa Kejaman, persembahan kami mempunyai elemen pergerakan jari dan muzik yang kami gunakan adalah muzik kaum Kenyah.
“Walaupun demikian, semangat Orang Ulu satu rumpun itu masih kami kekalkan kerana kaum Kejaman juga mampu mempersembahkan tarian etnik Kenyah,” ujar Pensyarah Politeknik itu lagi.
Manakala, kerani di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Zulhilmi Abdul Karim, yang juga salah seorang peserta perarakan berharap kontinjennya menjulang kejuaraan pertandingan perarakan tersebut.
Menurutnya, kontinjen (JPN Sarawak) telah bertungkus lumus melakukan latihan yang melibatkan rutin tarian dan formasi yang rumit.
“Sasaran kami adalah johan, tetapi jika tidak pun, asalkan kami termasuk dalam tangga tiga teratas sudah memadai,” kata Zulhilmi dalam nada ceria. – TVS