GEORGE TOWN, 19 Julai: Penduduk Pulau Pinang teruja untuk menikmati perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu yang pelaksanaan fasa pertamanya dijangka bermula hujung tahun ini.
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai yakin mod pengangkutan awam berkenaan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
Seorang pekerja syarikat utiliti, Farahlina Zainol, 32, berkata perkhidmatan LRT sememangnya ditunggu-tunggu kerana bukan sekadar mengurangkan kesesakan lalu lintas malah menjimatkan kos untuk ke tempat kerjanya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Menurut Farahlina beliau menunggang motosikal atau memandu kereta dari rumahnya di Bayan Lepas ke Komtar dan sering terperangkap dalam kesesakan jika memandu kereta.
“Kalau ikut pembacaan menerusi akhbar, akan ada laluan (LRT) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang iaitu Bayan Lepas ke Komtar. Kalau betul, memang saya akan gunakan LRT ke tempat kerja kerana sangat memudahkan.
“Dulu saya pernah tinggal di Kuala Lumpur dan memang ke tempat kerja menggunakan LRT, sebab itu saya tahu ia membantu mengelak kesesakan. Sekarang Pulau Pinang sesak teruk, naik bas pun sesak juga, jadi LRT adalah penyelesaian kepada masalah tersebut,” katanya kepada Bernama.
Pelajar kolej, Neoh Zhe Chung, 22, berkata beliau percaya perkhidmatan LRT akan menjimatkan masa berbanding bas dan e-hailing selain tidak perlu membuang masa mencari ruang parkir kenderaan.
“LRT lagi mudah. Sekarang ini ada masalah timbul contohnya bas lambat kerana perlu mengikut jadual dan kesesakan jalan raya manakala Grab pula semakin mahal.
“Jadi LRT adalah mod pengangkutan pilihan baharu kepada penduduk di Pulau Pinang. Saya tinggal di Tanjung Tokong dan difahamkan ia antara laluan LRT,” katanya.
Warga emas, R.Kallani, 65, yang tinggal di Relau berkata beliau percaya LRT memudahkan orang ramai seperti di ibu negara.
Kallani yang menggunakan perkhidmatan bas awam sejak muda mengakui sejak kebelakangan ini beliau perlu menunggu bas dalam tempoh yang agak lama.
“Adik saya tinggal di Kuala Lumpur dan pergi kerja naik LRT, saya pun kalau berada di sana (Kuala Lumpur) lebih senang naik LRT. Saya rasa kesesakan semakin teruk sekarang ini (di Pulau Pinang), jadi LRT nanti dapat kurangkan kesesakan, ini yang kami mahu,” katanya.
Pung Taw Lim, 53, pula berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Persekutuan kerana meluluskan projek LRT malah ia juga antara usaha menuju negeri hijau.
“Sememangnya LRT akan menyokong sistem pengangkutan awam di bahagian pulau… memang mudah dan dapat kurangkan kesesakan,” katanya.
Pada 6 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di Bukit Mertajam mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersedia memberikan dana tambahan bagi menyegerakan pelaksanaan projek LRT di Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 30 Mei lepas pula dilaporkan berkata rancangan pelaksanaan LRT di Pulau Pinang dijangka bermula lebih awal selepas pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju untuk membina depoh LRT di tapak tanah sedia ada berbanding rancangan sebelum ini iaitu membinanya di atas pulau buatan dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI). -TVS