LIMBANG, 19 Julai: Permata Sarawak, Nur Aisyah Madzelan bertekad untuk menakluki sekali gus mempromosikan sukan boccia selepas meraih emas, pada Para SUKMA di Kuala Lumpur pada tahun 2022.
Gadis berasal dari Kampung Buangsiul Limbang itu bukan saja mahu terus merangkul gelaran juara, malah mengimpikan sukan itu dikenali masyarakat di negeri ini.
Menurut ibunya Dayang Husni Awang Pungut anaknya yang telah berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa pada sukan boccia sejak 2019 hingga 2022 mengimpikan sukan itu semakin dikenali orang ramai meskipun ia adalah sukan baharu diperkenalkan.
Katanya selain mensasar untuk terus meraih pingat pada beberapa kejohanan berprestij sukan itu, Nur Aisyah,20, tetap mahu terus melebar sayap ke podium antarabangsa.
“Bakat Nur Aisyah mula bersinar pada 2019 dan kami bermula daripada Sirkit Pertama di Kuala Lumpur pada Mei 2019.
“Pada tahun yang sama kami membawa beliau untuk bertanding pada Karnival Orang Kurang Upaya Sarawak (KOKUS) 2019 dan merangkul pingat emas kategori BC1.
“Selepas tu pandemik kami cuma berlatih dan mengajar dia di rumah dan pada Kejohanan Sirkit Satu Kuala Lumpur Jun 2022 dan Sirkit Kedua pada Oktober 2022 Nur Aisyah memenangi pingat perak dalam acara individu dan pingat gangsa acara berkumpulan,” katanya ketika ditemui TVS di kediamannya di Kampung Buangsiol pada Rabu.
Tambah Dayang Husni, anaknya terus menunjukkan gaya sebagai juara apabila meraih pingat emas kategori berkumpulan pada Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur tahun lepas.
“Pada Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur beliau terus mempamer aksi juara selepas mengenggam pingat emas acara berkumpulan,” ujarnya.
Sementara itu ayah Nur Aisyah, Madzelan Abdul Hamid menjelaskan kekurangan fasiliti khas tidak menghalang anaknya untuk mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Sirkit Satu 2023 Kuala Lumpur, pada Jumaat ini, 21 julai 2023.
Pada masa ini menurutnya ruang tamu rumah mereka dan dewan kampung Pabahanan terpaksa dijadikan ‘trek latihan’ kerana ketiadaan fasiliti untuk sukan boccia di Limbang. – TVS