KUCHING, 19 Julai: Sebanyak 70 kontinjen perarakan sempena Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka membentukkan formasi nombor enam dan kosong.
Menurut Penyelaras Acara Padang Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka Abang Mohammad Hadi Sapiee @ Abang Shafie, latihan intensif untuk pembentukan formasi itu telah dilakukan sekitar tiga minggu ini.
Hadi mengakui usaha membentuk formasi berkenaan bukan suatu yang mudah namun dengan adanya kerjasama daripada semua pihak ia berjaya dilaksanakan.
“Latihan gabungan adalah selama tiga minggu berturut-turut, jadi untuk persembahan ini bukannya mudah. Anda nampak mudah tetapi untuk menghimpunkan semua orang dalam satu persembahan itu, dia bukan mudahlah.
“Dengan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Seni Sarawak dapat merealisasikan formasi enam dan kosong itu supaya kita dapat tunjukkan di negeri Sarawak ini kita Bersatu hati meraikan bersama 60 tahun Sarawak Merdeka,” katanya.
Hadi berkata demikian ketika ditemui TVS selepas hari kedua raptai perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Jelas Hadi, pembentukan formasi yang berwarna keemasan ini diinspirasikan dari logo 60 tahun Sarawak Merdeka.
Konsep persembahan yang dibawakan pada kali ini katanya bertujuan untuk menghimpunkan perpaduan dan kemakmuran dalam kebudayaan yang ada di Sarawak.
Tambah Hadi, antara pihak yang bekerjasama bersama Majlis Seni Sarawak (MSS) adalah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Dayak Cultural Foundation, Politeknik Kuching, Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg, Sekolah Kebangsaan Encik Buyong, kumpulan kebudayaan (seliaan MSS), pembantu-pembantu jurulatih MSS dan para sukarelawan.
Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka ini bakal berlangsung pada Sabtu, 22 Julai ini di Padang Merdeka, Kuching.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan bersempena sambutan ini Konvoi Kembara Sarawak Merdeka, Pameran Digital Sarawak 60 Tahun dan Majlis Kesyukuran Perdana. – TVS