Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Helikopter MI-17 dari Unit Udara Bomba yang menghantar empat anggota SAR ke Long Kawa, Tutuh di Baram pagi tadi. Foto: Unit Udara JBPM Miri

Tragedi bot karam, JBPM guna helikopter hantar empat anggota ke Long Kawa

MIRI, 18 Julai: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Sarawak menggunakan helikopter MI-17 untuk menghantar empat anggotanya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa kejadian bot karam di Sungai Long Kawa Tutuh, Baram yang masih hilang.

Ketua JBPM Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Ismaidi Ismail berkata, langkah itu dilakukan pukul 10 pagi tadi dengan kerjasama Unit Udara Bomba memandangkan lokasi kejadian merupakan kawasan terpencil.

Ismaidi memberitahu, pihaknya menerima makluman awal mengenai kejadian itu daripada seorang guru dari Kampung Ba Selulong melalui aplikasi WhatsApp.

“Terdapat enam penumpang yang menaiki bot itu namun lima berjaya menyelamatkan diri manakala seorang warga emas perempuan masih hilang dan dikhuatiri lemas,” jelasnya.

Pencarian awal telah dilakukan oleh penduduk kampung namun mangsa masih belum dijumpai.

Menurut Ismaidi operasi pencarian bermula pada pukul 12 tengah hari.

“Pasukan SAR berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah telekomunikasi di lokasi kejadian.

“Sehingga pukul 6 petang tadi, SAR masih giat dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, pasukan pencarian dijangka akan bermalam di Long Kawa sekiranya mangsa belum dijumpai. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan