MIRI, 18 Julai: Kerajaan Sarawak berusaha untuk mendapatkan tiga buah Kapal Peronda Laju berkapasiti lebih besar sebagai usaha meningkatkan pemeliharaan di lapan buah Taman Negara Marin di seluruh negeri.
Hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu bagi memastikan Sarawak Coastguard mengadakan rondaan lebih jauh dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding kapal yang sedia ada.
“Ini sebagai mendekatkan jurang ketidakcukupan aset agensi-agensi keselamatan yang lain.
“Secara amnya, Sarawak Coastguard berperanan untuk berkolaborasi dengan agensi-agensi Negeri mahupun Persekutuan.
Dengan kerjasama sekarab ini, saya percaya penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard dan perasmian Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Miri, di sini, hari ini.
Terdahulu, pada Selasa, Abang Johari melancarkan enam buah kapal peronda laju kelas pulau bagi kegunaan Sarawak Coastguard.
Kesemua enam buah kapal itu berukuran 25 meter dengan dilengkapi teknologi water jet.
“Dengan perolehan kapal-kapal ini, terbuktilah bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
“Aset-aset ini selain daripada digerakkan untuk operasi penguatkuasaan ordinan-ordinan negeri, ia juga akan membantu dalam operasi mencari dan menyelamat, kawalan keselamatan dalam acara-acara air rasmi serta membantu penugasan agensi-agensi keselamatan yang lain di mana sahaja tempat yang diperlukan,” ujarnya. – TVS